Sekolah Dibuka Semula Bermula 20 Januari 2021 – PM

Perutusan khas Perdana Menteri sempena tahun baharu 2021.

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan akan bermula pada 20 Januari depan, menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Perutusan Khas Tahun Baharu 2021, sebentar tadi.

Menurut Muhyiddin, keputusan itu dibuat berikutan kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak yang tidak dapat mengikuti pembelajaran secara sempurna di sekolah.

”Mengambil kira keperluan untuk anak-anak mengikuti pembelajaran dalam situasi yang semula jadi di sekolah, saya ingin memaklumkan bahawa kesemua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia akan dibuka mengikut takwim yang telah diumumkan pada 8 November 2020,” kata beliau.

Sementara itu, kata Muhyiddin, institusi pendidikan swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan KPM, pembukaan bagi sesi 2021 tertakluk kepada kalender akademik institusi tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Manakala, pelajar tempatan di institusi pengajian tinggi (IPT) di semenanjung akan pulang ke kampus seawal 1 mac 2021, secara berfasa.

”Bagi yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) pula, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membenarkan pelajar tempatan kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac 2021,” katanya.

Kemasukan pelajar di IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak pula tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing-masing.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *