Rakyat Sabah Tak Perlu Bimbang Status Daging Import

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah tidak perlu bimbang status daging import kerana negeri itu mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat mengenai import, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah itu berkata, Sabah tidak membenarkan daging mentah dibawa masuk ke negeri itu dari Semenanjung dan Sabah juga mempunyai kuasa untuk mengawal selia import dan eksport haiwan dan produk haiwan di bawah Enakmen Haiwan 2015 negeri.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan

“Sabah juga diberi status bebas Penyakit Kaki dan Mulut (FMD) sejak Mei 2004, bermakna Sabah meletakkan syarat yang lebih ketat ke atas haiwan dan produk haiwan import untuk mengekalkan status bebas FMD seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).

“Sabah hanya mengimport daging dari negara bebas FMD yang disahkan OIE atau sekurang-kurangnya haiwan itu mesti diperoleh dari negara yang mempunyai kawasan bebas FMD yang disahkan OIE,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa kartel mengimport daging dari rumah sembelih yang tidak disahkan halal di negara seperti China, Brazil serta Argentina dan membungkus semula untuk dijual sebagai daging halal di Malaysia.

Jeffrey berkata, Sabah masih bergantung kepada daging import memandangkan negeri itu hanya menampung 10 peratus permintaan daging di negeri itu.

“Pada masa ini, kami mengimport daging dari Australia dan New Zealand dan kemudahan khas di Aurangabad, India yang menghasilkan daging kerbau beku Allana untuk memenuhi keperluan daging berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Sabah hanya mengimport daging dari premis berdaftar di bawah senarai rumah penyembelihan luar negara yang diluluskan agensi pusat terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Kesihatan.

“Sabah hanya membenarkan penghantaran terus dari negara di mana daging itu berasal ke lapangan terbang atau pelabuhan di Sabah. Jika pemindahan dan transit dalam perjalanan diperlukan, peraturan ketat akan dikenakan ke atas konsainan seperti dipateri dari negara asal dan tidak boleh diusik dalam apa cara sekalipun.

“Oleh itu, kementerian melalui DVS Sabah yakin negeri ini bebas daripada skandal sedemikian dan kami yakin akan keseluruhan daging di Sabah,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1892