Bung Moktar Arah Kontraktor Baiki Segera Jalan Rosak Di Sabah

Timbalan Ketua Menteri l yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar.

TONGOD: Kementerian Kerja Raya Sabah mengarahkan semua kontraktor penyelenggaraan jalan raya di negeri ini supaya membaiki segera kerosakan jalan raya di seluruh negeri.

Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengeluarkan arahan itu ketika pertemuan dengan kontraktor terbabit beberapa hari lalu.

“Saya sudah memanggil kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk menyelenggara dan memantau jalan raya di negeri ini supaya membaiki segera laluan yang mengalami kerosakan akibat faktor cuaca.

“Pihak kontraktor perlu segera baiki jalan yang berlubang dan mengalami kerosakan akibat banjir atau hujan lebat untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya pada program bersama rakyat, di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian sebagai mengulas isu jalan raya rosak dan berlubang yang kerap diadukan pengguna jalan raya di negeri ini.

Bung Moktar berkata, kontraktor penyelenggaraan yang diamanahkan memantau dan menjaga keadaan jalan raya perlu memastikan kemudahan itu dalam keadaan baik dan selamat digunakan sepanjang masa.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya kini dalam proses mengumpul data mengenai semua jalan raya di negeri ini bagi memudahkan penyaluran peruntukan untuk penyelenggaraan dan menaik taraf jalan.

Sehubungan itu, beliau meminta pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyenaraikan semua jalan raya di kawasan masing-masing dan agensi atau kementerian yang bertanggungjawab terhadap jalan raya terbabit.

Katanya, data itu penting bagi mengenal pasti sama jalan raya terbabit terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan Luar bandar atau PBT.

Beliau berkata, bank data jalan raya itu akan memudahkan kementerian yang berkaitan merancang usaha mendapatkan peruntukan sama ada daripada negeri atau persekutuan.

“Berlaku kekeliruan orang ramai membuat aduan kerosakan jalan raya apabila ia sering diajukan kepada Kementerian Kerja Raya, sedangkan jalan raya terbabit di bawah pengurusan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, majlis daerah atau kalau jalan estet oleh pihak pengurusan estet berkenaan.

“Sehubungan itu bank data jalan raya ini perlu bagi memastikan jalan raya dikendalikan oleh pihak mana selain memudahkan pihak kerajaan menyalurkan peruntukan sama ada untuk membaiki kerosakan atau menaik taraf jalan raya terbabit,” katanya.

Bung Moktar menambah, beliau juga sudah membangkitkan perkara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini.

Beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar termasuk semua pejabat daerah bagi mewujudkan bank data jalan raya di negeri ini yang membabitkan 73 kawasan DUN.

“Di Sabah ini, ada beberapa kategori jalan raya yang tidak diberi peruntukan iaitu jalan kayu balak, jalan estet, jalan pertanian dan jalan tanah liat. Sebab itu penting bagi kita membuat satu data berhubung status jalan raya,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *