Perintah Berkurung ESSZONE Dilanjutkan Hingga 15 Januari

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok, dilanjutkan selama 14 hari sehingga 15 Januari 2021.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perintah berkurung itu meliputi perairan Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Beliau berkata, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi.

“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hazani berkata, perintah berkurung itu bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Beliau berkata, ia akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Menurutnya, beliau memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1623