Duit KWSP Hanya Dapat Pegang Bila Hari Tua

Ketika ramai yang hilang pendapatan akibat kemelesetan ekonomi angkara wabak Covid-19, hanya tinggal wang simpanan kita dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh menjadi penyelamat terakhir.

Malangnya, apa yang kita harapkan rupanya mimpi siang hari. Duit kita dalam KWSP sebenarnya tidak boleh dikeluarkan sesuka hati.

Jika baca syarat-syarat yang ditetapkan, duit yang kita simpan dalam KWSP sememangnya susah untuk dikeluarkan.

Lalu, kita pun tertanya-tanya kenapa susah sangat mahu ambil duit dalam KWSP walhal itu duit hasil titik peluh kita sendiri?

Kata kerajaan, wang yang disimpan dalam KWSP adalah bertujuan digunakan untuk hari tua. Itu kita semua pun faham.

Jika berlaku keadaan terdesak sehingga semua duit dalam bank pun sudah habis digunakan, duit KWSP kita tetap tidak boleh diusik. Tunggulah tua nanti baru dapat rasa.

Bunyinya memang kejam tetapi itulah hakikat sebenar. Syaratnya sudah pun tertulis secara hitam putih.

Baru-baru ini kita dikejutkan pula dengan dividen Amanah Saham Bumiputera. Hanya 4.25 sen dan ehsan sebanyak 0.75, paling rendah dalam sejarah penubuhannya.

Apa pula jumlah dividen yang akan diberikan oleh KWSP? Apakah ia juga akan memberikan dividen paling rendah kepada pencarum dalam sejarah penubuhannya? Kita tunggu saja pe-ngumumannya pada Februari tahun depan.

Ketika kadar faedah bank-bank tempatan makin hari makin menurun, ketika saham-saham yang kita miliki sudah tidak boleh menjanjikan dividen menarik, maka kepada KWSPlah kita menaruh harapan yang menggunung.

Dengan memberikan dividen tinggi, sekurang-kurang dapat mengubati hati pencarum, lebih-lebih lagi kepada golongan yang hilang pendapatan sejak beberapa bulan yang lalu. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5356