COVID-19: Kes Di Sabah Masih Tinggi Walau Turun Dua Hari Berturut-Turutt

KOTA KINABALU: Walaupun merekodkan penurunan kes positif Covid-19 dua hari berturut-turut dengan hanya 157 kes semalam berbanding 186 kes kelmarin, Sabah masih mempunyai banyak kes aktif dengan majoriti daerah kini berada dalam zon jingga dan merah.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), seramai 1,544 pesakit Covid-19 masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negeri setakat semalam.

Masidi Manjun

Zon merah dan jingga kini meningkat kepada 19 daerah berbanding 18 daerah kelmarin, manakala hanya enam daerah dalam zon kuning dan dua zon hijau iaitu di Nabawan serta Tambunan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata situasi itu antara faktor Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah yang dijadualkan tamat 31 Disember ini dilanjutkan lagi sehingga 14 Januari depan.

“Sehingga semalam sebanyak 36,074 kes positif Covid-19 direkodkan di seluruh Sabah. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan jumlah kes harian Covid-19 di negeri ini masih lagi tinggi dan menunjukkan peningkatan kes.

“Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju PKPB di seluruh Sabah dilanjutkan lagi bermula 1 Januari 2021 hingga 14 Januari 2021,” katanya dalam kenyataan media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Kota Kinabalu kekal daerah dalam zon merah dengan kes baharu tertinggi iaitu 46, diikuti Penampang (28), Sandakan dan Papar masing-masing 19 kes, Tawau (11), Putatan dan Lahad Datu masing-masing sembilan kes, Kota Belud (empat), Semporna (tiga), Tuaran (dua), manakala Ranau satu-satunya daerah dalam zon merah tiada kes baharu.

Daerah dalam zon jingga pula ialah Tenom (dua kes), Kalabakan, Beluran dan Kinabatangan masing-masing satu kes, manakala empat daerah lain iaitu Kudat, Keningau, Kunak dan Beaufort tiada pertambahan kes baharu semalam.

Masidi berkata, bagi daerah dalam zon kuning pula hanya Sipitang merekodkan pertambahan dengan dua kes, manakala Kuala Penyu, Telupid, Kota Marudu, Pitas, Tongod tiada sebarang kes baharu.

“Sebanyak 157 kes positif baharu dengan satu kematian di Kota Kinabalu, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 36,231 kes. Bilangan sembuh pula seramai 248 pesakit, menjadikan kumulatif sembuh seramai 34,038 orang.

“Tiada kluster baharu dilaporkan dan daripada 157 kes positif direkodkan, sebanyak 79 kes atau 50.3 peratus berpunca daripada saringan kontak rapat, manakala 50 kes atau 31.8 peratus daripada saringan bergejala, diikuti 17 kes atau 10.8 peratus daripada kluster sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata dua kampung yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Lahad Datu iaitu Kampung Dasar Baharu dan Desa Bajau, kembali kepada kawasan PKPB mulai hari ini seperti dijadualkan.

Bagaimanapun, katanya dua lagi PKPD dikuatkuasakan mulai hari hingga 11 Januari depan, kali ini di Kampung Paginatan dan Maringkan, Ranau, membabitkan 865 penduduk.

PKPD baharu itu, katanya dilaksanakan berikutan peningkatan kes positif yang direkodkan KKM dengan sebanyak 89 kes dikesan setakat ini daripada 529 ujian saringan yang dijalankan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *