6 Individu Dikompaun Duduk Gerai Makan Ingkar SOP

TAWAU; 29 DISEMBER 2020 (Selasa) : Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau mengeluarkan kompaun keatas enam individu selepas didapati ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa berada di tempat awam menerusi satu Operasi Bersepadu Pematuhan SOP PKPB yang dijalankan di pasar malam ‘DownTown’ Tawau, malam tadi.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G. Navindran berkata, semua individu terbabit dikompaun masing-masing 1-ribu ringgit dibawah Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selepas didapati duduk semeja di gerai makan tanpa penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.

Katanya, empat premis turut diberikan notis kehadiran ke Mahkamah dibawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 atas kesalahan dibawah Peraturan 8(1), Peraturan 33(1)(f) dan Peraturan 11(1)(b) yang membabitkan pemeriksaan keatas 11-premis di kawasan berkenaan.

Menurutnya lagi, operasi seumpama itu akan dilakukan secara berkala, selain sekiranya terdapat aduan awam berkaitan ketidakpatuhan SOP sehingga boleh mengakibatkan penularan wabak COVID-19 di tempat awam.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP semasa berada di tempat awam termasuklah sentiasa menjaga penjarakan fizikal, menggunakan pelitup separuh muka serta tidak bersalaman atau bersentuhan dengan orang lain.

Mengulas lanjut, Dr. G. Navindran berkata, bagi menimbulkan kesedaran orang awam terhadap pematuhan SOP seperti ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19, operasi sedemikian amat penting dijalankan.

Sehubungan itu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dengan mengenakan kompaun kepada mana-mana individu yang ingkar SOP.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Kawasan (PKPK) Tawau, Rahman Sampe ketika dihubungi RTM berkata, operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap kepatuhan orang awam terhadap SOP sentiasa di tahap yang memuaskan.

Operasi yang dijalankan selama empat jam itu diketuai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) Kanan, Abdullah Alifuddin dengan kekuatan 15 anggota penguatkuasa bersama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Setakat semalam, daerah Tawau mencatatkan kumulatif kes COVID-19 sebanyak 5,434 kes dan masih terdapat sebanyak 359 kes aktif yang masih dirawat.

SumbeR: BESTAWAUFM

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5964