Ingkar PKPB, 16 Individu Dikompaun Gara-Gara Berhibur

Polis memeriksa individu yang berada di sebuha pusat hiburan di Lintas Plaza, Kota Kinabalu dalam pemeriksaan malam tadi. Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Seramai 16 individu yang berhibur sambil minum minuman alkohol dikompaun sebanyak RM1,000 selepas didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah pusat hiburan di Lintas Plaza di sini, malam tadi.

Mereka dikesan melakukan kesalahan itu ketika operasi pada 11.45 malam yang dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan pihaknya mendapati premis berkenaan sedang beroperasi dengan sekumpulan individu sedang berhibur di premis berkenaan.

Menurutnya, pasukannya menahan 10 lelaki dan enam wanita berusia antara 21 hingga 36 tahun untuk pemeriksaan dan proses dokumentasi selepas didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

“Mereka yang dikompaun didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8), Peraturan 10 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11 dan dikenakan kompaun.

“Operasi ini dijalankan berikutan kerajaan masih melaksanakan PKPB dan masyarakat hendaklah mematuhi sebarang SOP yang dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Habibi berkata, ujian saringan awal air kencing turut dijalankan ke atas enam lelaki di premis berkenaan dan semuanya didapati negatif dadah.

Menurutnya, tahap pematuhan masyarakat terhadap SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah penentu kejayaan PKPB.

“Mana- mana individu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua, pesalah boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu dilakukan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *