COVID-19: Kluster Pompod Di Kota Belud Catat Empat Kes

KOTA KINABALU: Terdapat satu kluster baharu dilaporkan di daerah Kota Belud iaitu Kluster Pompod yang dikesan melalui saringan kontak rapat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan juga merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun dalam kenyataan Laporan Harian Kes Jangkitan COVID-19 pada Jumaat (25 Disember) berkata kluster baharu berkenaan mencatatkan sebanyak empat kes menjadikan jumlah kumulatif 19 kes.

Beliau turut mengumumkan bahawa daerah Kudat bertukar dari zon jingga ke zon merah.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 225 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 35,640 kes. 

“Dua kes kematian direkodkan iaitu masing-masing satu kes di daerah Lahad Datu dan Sandakan. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

“Pada hari ini, seramai 239 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 33,357 orang. 

“Sejumlah 1,589 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 576 orang di hospital dan 1,013 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 61 orang dan 15 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

“Daripada 225 kes positif COVID-19 yang direkodkan, sebanyak 125 kes (55.6%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 47 kes (20.9%), saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 38 kes (16.9%), saringan komuniti satu kes (0.4%) dan 14 kes (6.2%) adalah dari lain-lain kategori.

“Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 966 unit. 

Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah 5,444 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,410 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 24.79%,” katanya.

Mengenai agihan bakul makanan, Masidi berkata sebanyak 303,912 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

Untuk bantuan logistik COVID-19 pula, beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempunyai 239 buah kenderaan yang sedia digunakan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 buah kenderaan digunakan untuk mengangkut pesakit COVID-19, manakala 5 buah kenderaan digunakan untuk menghantar bakul makanan ke lokasi sasaran. 

Baki 224 kenderaan pelbagai jenis, tambahnya, bersedia digerakkan jika perlu.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 98%.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi membendung penularan pandemik COVID-19. 

“Pihak PDRM juga akan terus melaksanakan pemantauan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar pada SOP yang sedang berkuat kuasa. 

“Bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal 2020. Patuhilah SOP ketika kunjung-mengunjung dan teruskan berdoa agar kita berjaya memutuskan rantaian COVID-19 secara total,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *