COVID-19: 1,581 Kes Baharu, 2 Kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu COVID-19 hari kekal empat angka apabila 1,581 lagi kes jangkitan direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor kekal mencatatkan jumlah kes harian tertinggi selama sembilan hari berturut-turut.

Beliau memaklumkan, dengan pertambahan kes baharu hari ini menjadikan kumulatif 100,318 kes COVID-19 direkodkan di negara ini.

Katanya, daripada kes baharu yang dikesan hari ini, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 491 kes (31.1 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 375 kes (76.4 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 379 kes (24.0 peratus) dan Sabah sebanyak 249 kes (15.7 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan dua lagi kematian dilaporkan hari ini membabitkan daerah Sandakan dan Lahad Datu di Sabah.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian disebabkan COVID-19 di negara ini sebanyak 446 kes atau 0.45 peratus daripada keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-445 membabitkan remaja perempuan berusia 15 tahun dan jenazahnya dibawa ke Hospital Lahad Datu.

“Kematian seterusnya dilaporkan membabitkan lelaki berumur 61 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi, dislipidemia, dan strok serta jenazahnya dibawa ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *