SAFA Sumbang RM300,000 Kepada Bobby Chua

Bobby (tiga dari kiri) menerima sumbangan daripada Rahman yang mewakili presiden Safa, Bung Moktar Radin. Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) menyampaikan sumbangan RM300,000 kepada bekas pemain negeri itu, Bobby Chua yang lumpuh akibat penyakit sklerosis lateral amiotrofik (ALS).

Sumbangan berkenaan disampaikan Timbalan Presiden Safa, Datuk Rahman Zakaria yang mewakili presidennya, Datuk Bung Moktar Radin di kediaman Bobby, di Taman Rimba, Telipok.

Difahamkan, bekas pemain tengah berumur 52 tahun itu mengalami penurunan fungsi (degeneratif) pada sel saraf motorik yang berkembang dengan cepat disebabkan kerosakan sel saraf.

Ketika ditemui, Bobby berkata, dia bersyukur dengan sumbangan yang diberikan Safa itu serta beberapa lagi pihak lain.

”Terima kasih kepada Safa terutama Datuk Bung yang cepat bertindak untuk membantu saya menerima rawatan.

”Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin dengan keadaan saya serta mendoakan kesihatan saya.

”Saya akan terus melawan penyakit ini kerana penyakit ini mungkin telah melumpuhkan fizikal saya tetapi ia tidak melumpuhkan semangat saya,” katanya.

Bobby yang pernah meraih kejuaraan Liga Perdana (kini Liga Super) bersama skuad Badak pada 1996 itu berkata, kos rawatan yang diperlukan beliau adalah sekitar RM300,000.

”Saya akan mendapatkan rawatan alternatif bagi menyembuh atau melambatkan proses penyakit ini melumpuhkan badan saya.

”Walaupun belum terjamin saya akan sembuh sepenuhnya selepas menerima rawatan ini, sekurang-kurangnya saya berusaha,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *