Agong, Permaisuri Agong Ucap Selamat Menyambut Krismas

Agong, Permaisuri Agong ucap selamat menyambut Krismas

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyampaikan ucap selamat kepada masyarakat beragama Kristian di seluruh negara yang menyambut Krismas, esok.

Baginda berdua turut menzahirkan harapan supaya perayaan Krismas membawa keamanan, kemakmuran, perpaduan dan kegembiraan kepada semua yang menyambutnya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, baginda bertitah supaya rakyat tidak gusar dan bersedih kerana tidak dapat meraikan perayaan itu seperti kelaziman ekoran penularan wabak Covid-19.

“Walaupun perayaan ini terpaksa disambut dengan pelbagai peraturan dan larangan, rakyat perlu bersyukur dan bergembira kerana masih dikurniakan kesihatan untuk bersama keluarga dan insan tersayang,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

Ahmad Fadli berkata, baginda turut menasihati rakyat dalam meraikan perayaan ini supaya berwaspada dan berdisiplin menjaga keselamatan serta kesihatan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan serta pihak berkuasa.

“Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan selamat menyambut tahun baru kepada seluruh rakyat jelata sempena sambutan perayaan tahun baru 2021.

“Baginda mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang untuk bersama mendoakan supaya Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta dikurniakan kemakmuran dan perpaduan berkekalan,” katanya.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah kini berada di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu sempena lawatan khas selama lima hari dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air, esok.

“Berdasarkan SOP ditetapkan kerajaan, baginda akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berangkat pulang dari Abu Dhabi dan sebaik mendarat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Al-Sultan Abdullah juga akan menyambut tahun baru 2021 di Istana Negara kerana baginda dinasihati menjalani kuarantin diri seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada mereka yang pulang atau masuk ke Malaysia dari luar negara,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1954