Sabah Timbang Pembiayaan Swasta Percepat Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo

Fasa pertama projek Lebuh Raya Pan Borneo melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 706km merangkumi 35 pakej dengan kos RM15.272 bilion.

KOTA KINABALU: Keseluruhan 35 pakej Fasa 1 Lebuh Raya Pan Borneo (LPB), melalui unjuran yang dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, dijangka hanya akan siap pada 2040 sekiranya kerajaan tidak mencari inisiatif pembiayaan lain untuk mendapatkan peruntukan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin, berkata berdasarkan pengumuman Belanjawan 2021 oleh Kementerian Kewangan dan trend semasa, didapati hanya satu pakej daripada baki 20 pakej Fasa 1 LPB diluluskan pada 2021.

Bung Moktar berkata, melalui unjuran yang dibuat, JKR negeri juga menjangkakan hanya lima hingga enam pakej sahaja dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan hanya dapat menyiapkan 21 daripada 35 pakej sehingga 2028.

“Kini pelaksanaan LPB bergantung sepenuhnya kepada Perbelanjaan Pembangunan (DE) dan projek berkenaan dilaksanakan oleh JKR Sabah.

“Pemberian peruntukan berkenaan adalah berbeza seperti sebelum ini, iaitu projek Fasa 1 LPB dilaksanakan melalui Konsep ‘Project Delivery Partner’ (PDP), iaitu menyiapkan projek dengan kos dan masa yang ditetapkan.

“Namun, konsep PDP ini ditamatkan pada 21 Sept 2019,” katanya menjawab soalan Salleh Said Keruak (BN-Usukan) mengenai status terkini projek LPB, khususnya di kawasan Kota Belud, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Bung Moktar berkata, sekiranya pembinaan LPB bergantung kepada peruntukan DE, maka pembinaannya memakan masa yang sangat lama.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan persekutuan membenarkan kerajaan Sabah melaksanakan projek LPB secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Saya yakin projek LPB dapat dipercepatkan sekiranya kita menggunakan inisiatif PFI dan saya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat tempatan pada awal tahun hadapan mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Projek LPB Sabah dilaksanakan secara berperingkat melalui tiga fasa pelaksanaan.

Fasa pertama meliputi pembinaan lebuh raya sepanjang 706 km yang merangkumi 35 pakej dengan kos sebanyak RM15.272 bilion. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *