KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memastikan pembinaan rumah dibawah Lembaga Pembangunan Perumahan Dan Bandar (LPPB) pada masa akan datang dilengkapi dengan kemudahan internet.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, beliau telah mengeluarkan arahan untuk pembinaan rumah yang dilaksana bersama LPPB, ia perlu dilengkapi dengan kemudahan internet.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Darell Leiking (Warisan-Moyog) mengenai adakah kemudahan internet akan dipasang bagi pembinaan semula rumah di negeri ini.
Terdahulu menjawab pertanyaan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) mengenai inisiatif pembinaan semula rumah, Masidi berkata, kerajaan akan melaksana inisiatif rumah pangsa di Tanjung Aru bagi membina semula rumah berkenaan.
Ini bagi membolehkan lebih ramai penghuni dapat tinggal di situ. Dalam masa sama, kerajaan juga sedang mengkaji tanah simpanan LPPB yang boleh dibangunkan projek perumahan.
“Namun dilema yang dihadapi LPPB adalah mereka tidak mendapat suntikan dana kerajaan maka, mereka bergantung kepada projek tanah yang dibangunkan dengan kerjasama pihak swasta yang mana, mereka tidak dapat membina rumah mampu milik kerana pulangannya tidak setimpal.
“Bagaimanapun, prinsip terbaru kerajaan adalah memberi keutamaan kepada pembinaan rumah mampu milik agar semua orang Sabah boleh memiliki rumah sendiri,” katanya dalam persidangan DUN Sabah, hari ini.
Masidi berkata, bagi menyediakan rumah mampu milik kepada golongan B40, khususnya keluarga muda, kementeriannya melalui LPPB akan terus membina rumah mampu milik di negeri ini.
Jika dilihat dibawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), LPPB sedang membina sebanyak 175 unit rumah iaitu 100 unit di Merotai, Tawau, 32 unit di Sook dan 43 Unit di Ulu Dusun, Sandakan. Pembinaan rumah-rumah yang melibatkan kos berjumlah RM26.45 juta ini dijangka disiapkan pada awal tahun depan.
Katanya, rumah-rumah berkenaan akan dijual dengan harga RM42,000 hingga RM47,000 seunit kepada golongan sasar.
Sejak t2010, kerajaan melalui LPPB telah membina sebanyak 29,043 unit kos rendah atau mampu milik untuk golongan B40 ke bawah.
Bagi RMK12, LPPB akan meneruskan pembinaan rumah-rumah untuk golongan B40 tertakluk kepada peruntukan kewangan negeri yang akan disediakan kelak.
Sebanyak 175 buah unit dirancang untuk dibina iaitu 50 unit di Kemabong, 50 unit di Sukau, 50 unit di Melalap dan 25 unit di Beluran.
Sementara itu, dua skim pinjaman perumahan sedang dilaksanakan iaitu Skim Pinjaman Perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan Skim Pinjaman Rumah Panjang.
Melalui kedua-dua skim ini, LPPB dijangka akan dapat memberikan pinjaman rumah untuk seramai 150 pemohon daripada golongan B40 pada tahun depan. – BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost