Kes Gaduh & Tetak Di Beaufort Tiada Kaitan Dengan Perkauman, Kenegerian

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir A Raza

BEAUFORT: Kes pergaduhan di sebuah restoran di daerah ini Jumaat lepas melibatkan ‘sekumpulan pemabuk’ dan tidak ada kaitan dengan isu perkauman atau kenegerian. 

Berikutan itu, polis mengingatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak terlibat sama menyebarkan spekulasi liar dan fitnah yang ditimbulkan pihak tertentu di media sosial.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir A Razak berkata beliau mengambil serius dengan spekulasi liar dan fitnah yang disebarkan berkaitan kes itu.

Dua suspek diburu Polis, Hobalan (kiri) dan Kesavan (kanan) diburu polis. Foto Ihsan Polis

“Fitnah wujudnya isu kaum dan negeri berkaitan kes ini dikhuatiri boleh menimbulkan kecenderungan merebaknya sentimen perkauman hingga menggugat keharmonian.

“Sebab itu perlu dijelaskan dengan betul dan orang ramai diharap bertenang kerana semua kaum malah negeri menolak amalan gangsterisme,” katanya, di sini.

Azmir berkata jika masih ada yang berterusan menyebarkan spekulasi liar berkaitan kes itu, polis tidak akan teragak-agak untuk membuka siasatan dakwaan-dakwaan berkenaan.

Menurutnya, siasatan dakwaan-dakwaan itu boleh dibuka menerusi Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Kes ini berkaitan ‘sekumpulan pemabuk’ yang merusuh membawa senjata kerana tidak berpuas hati dengan layanan pemilik restoran yang juga seorang bekas banduan.

“Kita sudah menangkap semua mereka yang disyaki terlibat dan giat mengesan dua lagi suspek serta turut merampas senjata seperti parang dan kapak dalam kes ini,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan terkawal dan orang ramai diharap menyerahkan sepenuhnya urusan siasatan kes terbabit kepada polis tanpa menyebarkan spekulasi liar.

Siasatan kes itu dibuka mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 kanun yang sama serta diklasifikasikan merusuh dengan senjata dan mendatangkan kecederaan. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *