Suami Isteri Warga Emas Antara 7 Ditahan Edar Dadah Di Semporna

Dadah jenis syabu yang dirampas menerusi dua serbuan berasingan di rumah tidak bernombor di Kampung Batu, Semporna pada Khamis. – Foto ihsan ESSCOM

SEMPORNA: Tujuh individu termasuk sepasang suami isteri warga emas masing-masing berumur 80 dan 70 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah sekitar daerah ini pada Khamis.

Pasukan keselamatan merampas sejumlah 139.82 gram dadah jenis syabu susulan serbuan ke atas dua rumah tidak bernombor di Kampung Batu, di sini pada jam 4 petang.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman, berkata serbuan pertama ke atas sebuah rumah didiami lima suspek itu menemukan bungkusan syabu pelbagai saiz seberat 82.78 gram yang dianggarkan bernilai RM8,000 serta 50 gulung kecil foil aluminium di ruang lantai rumah berkenaan.

Dadah jenis syabu yang dirampas menerusi dua serbuan berasingan di rumah tidak bernombor di Kampung Batu, Semporna pada Khamis. – Foto ihsan ESSCOM

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiga suspek lelaki warga asing berumur 16 hingga 30 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan positif dadah jenis Methamphetamine

“Selain itu, anggota keselamatan turut merampas dua unit telefon bimbit selain wang tunai berjumlah RM3,806 disyaki hasil penjualan syabu serta satu beg tangan kecil yang mengandungi lima bentuk cincin emas dan empat anting-anting,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, pasangan suami isteri warga emas pula ditahan berikutan penemuan beg tangan yang mengandungi sejumlah paket lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 57.04 gram milik pasangan terbabit.

Jelas beliau juga, selain paket syabu yang dianggarkan bernilai RM5,000 itu, turut ditemukan 20 gulung foil aluminium, satu unit penimbang digital, pemetik api, gunting besar, telefon bimbit, dan wang tunai berjumlah RM3,019 dan 300 peso (RM25.21).

“Semua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2419