Lelaki Mengamuk Tetak Ibu Tunang Sampai Mati

Habibah Abungon maut terlentang di dapurnya selepas ditetak tunang anaknya malam tadi. – Foto Ihsan Polis

KOTA MARUDU: Seorang maut dan tiga sekeluarga cedera ditetak seorang lelaki yang mengamuk selepas tunangnya memutuskan hubungan mereka.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam tadi, suspek bertindak menetak ibu tunangnya, Habibah Abungon, 68, sehingga maut di rumahnya di Kampung Kuyuh, Pitas.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 29 tahun itu dikatakan pergi ke rumah tunangnya untuk mengajaknya balik ke kampungnya di Paitan.

Bagaimanapun, wanita itu yang menolak pelawaan lelaki itu, sebaliknya meminta pertunangan mereka diputuskan.

“Akibat itu, suspek dipercayai bertindak agresif dan mengamuk menggunakan parang.

“Antara yang cedera adalah tunang suspek sendiri bersama adik dan bapanya. Semua mangsa yang cedera berusia 24 hingga 65 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Izaan berkata, Habibah maut terlentang di dapur dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

Katanya, tiga mangsa cedera dihantar ke Hospital Pitas untuk menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *