Belanjawan Sabah 2021 Peruntuk RM4.303 Bilion

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor menunjukkan teks ucapan Belanjawan 2021 sebelum membentangkannya di Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Belanjawan pertama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentangkan hari ini menyaksikan peruntukan sebanyak RM4.303 bilion disediakan untuk menampung perbelanjaan perbekalan dan pembangunan di Sabah tahun depan.

Belanjawan bertemakan Rakyat Sejahtera Ekonomi Mapan itu mencatat lebihan bernilai RM178.7 juta berdasarkan unjuran hasil RM4.481 bilion yang disasar diperolehi Sabah pada 2021.

Jumlah belanjawan pada tahun depan itu turut menyaksikan peningkatan kira-kira RM160 juta berbanding RM4.143 bilion yang disediakan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam belanjawan tahun ini yang dibentang pada November tahun lalu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata peningkatan peruntukan belanjawan pada tahun depan disokong unjuran perolehan hasil yang lebih baik berbanding tahun ini.

Katanya, hasil RM4.481 bilion yang diunjur pada tahun depan membabitkan peningkatan tujuh peratus atau RM289.54 juta berbanding RM4.192 bilion hasil yang diunjur oleh kerajaan WARISAN bagi tahun ini.

“Peningkatan hasil ini adalah kerana wujudnya sumber hasil baharu daripada kutipan cukai jualan negeri membolehkan hasil cukai menyumbang sebanyak RM2.22 bilion atau bersamaan 50 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.

“Hasil bukan cukai pula diunjur menyumbang sebanyak RM1.805 bilion atau 40 peratus, manakala Terimaan Bukan Hasil menyumbang sebanyak RM455.89 juta atau 10 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Cukai jualan ke atas produk petroleum, katanya diunjur sebagai penyumbang terbesar anggaran hasil Sabah pada tahun depan berjumlah RM1.25 bilion atau mewakili 27.9 peratus, diikuti cukai jualan minyak sawit mentah yang sebanyak RM787.5 juta atau 17.6 peratus daripada anggaran hasil tahun depan.

“Kerajaan negeri akan memastikan hasil melalui kutipan cukai jualan ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk perbelanjaan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata pandemik COVID-19 yang melanda dunia memberi impak ketara terhadap prestasi kutipan hasil kerajaan negeri dengan hampir semua sumber hasil negeri terjejas pada tahun ini.

“Anggaran hasil disemak tahun 2020 diunjur berkurang sebanyak 17 peratus atau RM721.42 juta kepada RM3.471 bilion berbanding anggaran asal.

“Pengurangan ini disebabkan pengeluaran dan purata harga minyak mentah dunia yang lebih rendah menyebabkan kutipan hasil daripada sumber ini turut terjejas,” katanya.

Katanya, kutipan hasil sebenar royalti petroleum pada tahun ini adalah RM1.13 bilion berbanding anggaran asal berjumlah RM1.7 bilion, manakala kutipan hasil cukai jualan minyak sawit mentah diunjur berkurang kepada RM793 juta berbanding anggaran asal tahun ini sebanyak RM825 juta.

“Pengurangan ini adalah disebabkan pengeluaran yang lebih rendah walaupun harga minyak sawit mentah berada di paras yang baik,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan negeri kekal sebagai penerima terbesar belanjawan Sabah tahun depan dengan sebanyak RM1.747 bilion disediakan untuk perbekalan dan RM5.8 juta untuk pembangunan.

Ia diikuti Kementerian Kerja Raya negeri dengan RM762 juta perbelanjaan perbekalan dan RM233.69 juta untuk pembangunan, manakala Jabatan Ketua Menteri menerima RM471.68 juta perbelanjaan perbekalan dan RM169.64 juta untuk pembangunan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1887