Rakyat Bersyukur PRK Bugaya Ditangguh

SEMPORNA: Keputusan kerajaan untuk menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dilihat sebagai langkah tepat bagi membendung penularan Covid-19.

Langkah proaktif kerajaan itu disambut baik penduduk Semporna yang menyifatkan ia amat bertepatan dengan situasi semasa Covid-19 di Sabah.

Penduduk Kampung Seri Melur, Bugaya, Bakri Gunong Tabul, 58, berkata, keputusan pembatalan atau penangguhan PRK Bugaya adalah tepat pada masanya.

“Sebelum ini, Semporna pernah merekodkan kes Covid-19 yang tinggi membabitkan tiga kluster iaitu masing-masing di Kampung Simunul, Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Bakau.

“Ketiga-tiga kampung ini dalam DUN Bugaya dan pernah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Kami bimbang, jika PRK diadaka, ia boleh mengakibatkan penularan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Abdul Hadi Abdul Ghani, 49, turut bersetuju dengan penangguhan PRK DUN Bugaya selain mahu rakyat terus patuh kepada saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memutuskan rantaian Covid-19.

“Kita sudah melihat bagaimana gelombang peningkatan kes di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September lalu.

“Justeru, semua pihak perlu mengambil iktibar dan pengajaran kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali,” tegasnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada kenyataan hari ini memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi bahagian Pilihan Raya Parlimen Gerik, Perak dan Bahagian Pilihan Raya Negeri Bugaya, sekali gus membatalkan PRK kedua-dua kerusi itu sebagai langkah membendung pandemik Covid-19.

PRN Bugaya perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datin Manis Muka Mohd Dara pada 17 November lalu akibat komplikasi buah pinggang. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

631