Cubaan Seludup Avokado Masuk Tawau Gagal

Anggota keselamatan memeriksa kota kayu berisi buah-buahan yang cuba diseludup ke daerah ini. – Foto PPM

TAWAU: Cubaan lelaki menyeludup masuk 2,000 kilogram (kg) mangga, avokado dan buah naga tanpa permit sah mengundang padah apabila dia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Ops Benteng Covid, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.05 pagi itu, bot jongkong yang dikendalikan suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan CIQ Lama Tawau, sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, pemeriksaan awal ke atas bot jongkong mendapati ia sarat dengan muatan kotak kayu berisi buah-buahan disyaki cuba dibawa masuk dari Indonesia.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek warga tempatan berusia 26 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Jabatan Pertanian untuk membawa masuk buah-buahan berkenaan.

“Rampasan membabitkan 900kg buah mangga, avokado (900kg) dan buah naga (210kg) yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM22,320 dan dipercayai untuk dipasarkan di daerah ini,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Nazari berkata, suspek bersama barang rampasan termasuk bot jongkong dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kesalahan disiasat mengikut Enakmen Peraturan Kuarantin Tumbuhan (Import dan Eksport) 1981,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2610