Penjual Ikan, Peniaga Lain Di UTC Pasar Sentral Jalani Ujian COVID-19

Antara penjual ikan dan peniaga yang datang menjalani swab test covid-19.

LABUAN : Penjual ikan serta peniaga lain dan kakitangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasar Sentral di sini mula menjalani ujian saringan COVID-19 hari ini, seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa selepas satu kluster baharu dikesan di kawasan itu minggu lepas.

Pasar basah dan kering UTC itu ditutup sejak 10 Dis lalu selepas Kluster Hujung Pasir  yang melibatkan peniaga sayur, penjual ikan dan pengunjung dikesan, dengan 18 kes direkodkan setakat ini. 

Sekurang-kurangnya 178 penjual ikan, peniaga lain dan penyedia perkhidmatan makanan di pasar basah dan kering serta medan selera, masing-masing terletak di aras bawah dan tingkat dua bangunan tiga tingkat tersebut, beratur seawal 9 pagi bagi menjalani ujian itu. 

Program pengawasan dan ujian saringan COVID-19 di UTC Pasar Sentral itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Labuan dan Pejabat Senator Labuan Datuk Bashir Alias.

Pejabat senator itu semalam meminta Jabatan Kesihatan Labuan melaksanakan ujian secara percuma ke atas semua penjual ikan serta peniaga lain yang berdaftar di pasar itu yang belum menjalani ujian tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata mereka yang mengalami gejala COVID-19 akan dikuarantin.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil UTC Pasar Sentral Asmadi Ahmad berkata seramai 466 peniaga beroperasi di bangunan UTC tersebut dengan pasar basah dan kering mempunyai bilangan teramai iaitu 299 orang.

Setakat hari ini, Labuan mencatatkan 1,457 kes, dengan empat kluster aktif iaitu  Sky Coklat, Titian, Saguking dan Hujung Pasir.- BERNAMA

1203