COVID-19: Sabah Catat Satu Kluster Baharu, 5 Kematian

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan satu kluster baharu hari ini, iaitu kluster Bukit Punai di Kota Kinabalu dengan tujuh kes positif setakat ini.

Untuk hari ini, sebanyak 268 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan dengan lima kes kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lima daripada tujuh kes kematian hari ini adalah di Sabah. Ia membabitkan dua warganegara dan tiga bukan warganegara yang meninggal dunia di Hospital Lahad Datu, dengan dua kes dan tiga kematian di Hospital Tawau.

Manakala, dua kes kematian lain dilaporkan di Hospital Sungai Buloh, Selangor dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.

Kesemua pesakit berusia antara 52 hingga 77 tahun dan kebanyakannya mempunyai sejarah penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok.

Noor Hisham berkata, dengan tambahan tujuh kematian itu menjadikan kes kematian dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 429 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 247 kes.

Hari ini terdapat lapan kluster baharu termasuk satu kluster di Sabah. Kluster lain adalah kluster Puncak Galaksi, Selangor dengan 56 kes positif setakat ini; kluster Tapak Bina Permai, Kuala Lumpur (48); kluster Tapak Bina Matahari, Kuala Lumpur (15); kluster Tapak Bina Laut, Kuala Lumpur (8); kluster Cahaya Mahsuri, Johor (32); kluster Seri Tasik, Perak (7); dan kluster Inten, Pahang (9).

Secara keseluruhan sebanyak 1,295 kes positif baharu di laporkan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 1,285 kes jangkitan tempatan dan 10 kes import.

Sementara, bilangan kes pulih hari ini sebanyak 1,052  kes, dengan kumulatif kes pulih sebanyak 72,733 kes.

Tambahan 1,295 kes baharu hari ini menjadikan kumulatif kes di Malaysia adalah 87,913 kes. Sebanyak 14,751 kes aktif dengan 113 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 53 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *