Kucing Itu Sengaja Ditahan Hingga Mati Tersepit

Kucing yang mati tersepit dipercayai angkara perbuatan khianat. Foto FB Persatuan Haiwan Malaysia.

JOHOR BAHRU: Seekor kucing ditemui mati tersepit di pintu ‘roller shutter’ sebuah bank dalam keadaan yang sangat tragik dipercayai akibat angkara khianat di Taman Tampoi Utama, Tampoi di sini, awal pagi tadi.

Persatuan Haiwan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian dipercayai berlaku pada 12 tengah malam semasa penutupan bidai besi secara automatik dan disedari orang awam kira-kira 3 pagi sebelum memaklumkannya kepada persatuan sekitar 4.30 pagi.

“Setiap bank akan menutup pintu roller shutter di ruang mesin ATM (mesin juruwang automatik) bermula 12 tengah malam dan hanya membukanya semula pada 6 pagi,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi persatuan berkenaan.

Menurut persatuan itu, kes kematian kucing itu seolah-olah sengaja dilakukan dengan cara menahan kucing malang itu sewaktu roller shutter sedang turun perlahan untuk menutup pintu ruang mesin ATM.

“Kucing tidak akan tunggu di satu lokasi jika berlaku bunyi bising. Sudah tentu bunyi roller shutter itu kuat sewaktu turun akan memeranjatkan kucing dan ia berlari pergi.

“Jadi, seolah-olah badan kucing sengaja ditahan hingga leher kucing tersepit,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi persatuan.

Selain mengharapkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak bank untuk menyaksikan kejadian sebenar, persatuan turut meminta mana-mana individu yang melihat kejadian itu supaya berkongsi maklumat dengan segera melalui talian 011-20901097 agar pelakunya dapat dijejaki. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2799