Lelaki Hilang Dipercayai Dihanyutkan Arus Sempat Jerit Minta Tolong

Lokasi Kejadian

BEAUFORT: Hanya jeritan meminta pertolongan sempat didengari sebelum lelaki berbangsa Timor berusia 18 tahun dihanyutkan arus di sungai Kampung (Kg) Bingkul, di sini petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5 petang semalam itu, abang mangsa terdengar mangsa menjerit meminta tolong namun, mangsa tidak sempat diselamatkan kerana dipercayai di bawa arus deras.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superitendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan mendapati mangsa telah pergi ke rumah rakannya di seberang Sungai Padas dengan berjalan kaki pada 3.30 petang.

Mangsa dikenali sebagai Andreanus Ola Kian kemudian balik ke rumah lebih kurang 5 petang menggunakan sampan rakannya. Namun apabila sampai ke tebing sungai berhampiran rumah mangsa, tiba-tiba sampan dinaiki dimasuki air dan mangsa menjerit meminta tolong.

“Abang mangsa memaklumkan terdengar jeritan itu dan cuba bergegas menyelamatkan adiknya namun, sebaik sampai di tempat kejadian, didapati mangsa sudah tiada dipercayai dibawa arus deras. Mangsa difahamkan tidak pandai berenang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Azmir berkata, pihak bomba dan polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang awam pada 6.10 petang.

Katanya, keadaan sungai ketika itu berarus deras dan melimpah ke tebing akibat hujan lebat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditangguhkan pada 7.30 malam semalam dan diteruskan 7 pagi tadi.

Tambahnya, usaha mencari masih diteruskan sehingga kini. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1396