Saya ‘Panglima Perang’, Bung Tawar Diri Untuk Ujian Vaksin Covid-19

Bung Moktar

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin, menyifatkan dirinya sebagai panglima perang dan menwarkan untuk menjadi rakyat diuji dengan vaksin Covid-19.

Pemimpin Umno Sabah itu menjawab pertanyaan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) yang bertanyakan siapa orang pertama yang akan diuji dengan vaksin itu.

“Saya menawarkan orang pertama untuk uji vaksin ini, kalau ada. Saya tidak takut sebab saya mahu sihat.

“Panglima perang kena dulu,” katanya, disambut tawa wakil rakyat lain.

Terdahulu, ketika membahaskan peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kesihatan, Wong tertanya adakah keberkesanan vaksin Covid-19 dalam iklim tropika sudah teruji, dan adakah Malaysia mempunyai kemudahan untuk menyimpan vaksin itu.

Malaysia menandatangani perjanjian pembelian awal dengan Pfizer untuk membeli 12.8 juta dos vaksin Covid-19. Ini akan merangkumi 20% penduduk atau 6.4 juta rakyat.

Vaksin itu memerlukan penyimpanan ultra-sejuk negatif 70 darjah Celsius.

Wong berkata ada dalam kalangan rakyat mengesyorkan vaksin diuji terlebih dahulu pada ahli politik sebelum diberi kepada rakyat.

“Jika kita sudah mempunyai vaksin tersebut, siapakah yang akan jadi bahan kajian seterusnya?” katanya, membawa kepada sahutan Bung itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2559