IPD Penampang Lupus 60 Senjata Api Tidak Dituntut

Senjata api yang akan dilupuskan selepas tidak dituntut oleh pemiliknya.

PENAMPANG: Bahagian Pelesenan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini, melupuskan 60 senjata api limpahan tidak dituntut oleh pemilik berdaftar.

Pelupusan senjata api itu membabitkan 54 ‘shotgun’, empat laras rifled, sepucuk senjata ‘spare gun’ dan sepucuk pistol jenis revolver.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan, Mohd Haris Ibrahim, berkata semua senjata limpahan ini adalah milik orang awam disimpan di dalam stor senjata IPD Penampang.

Senjata api yang akan dilupuskan selepas tidak dituntut oleh pemiliknya.

Mengikut Seksyen 27(2) Akta Senjata 1950, pihak polis mempunyai hak melupuskan senjata tumpangan tidak dituntut dalam tempoh enam bulan.

“IPD Penampang merekodkan keseluruhan sebanyak 120 senjata api disimpan di dalam stor. Ada senjata api tidak dituntut sejak 2005.

“Hari ini, kita melupuskan 60 senjata api manakala selebihnya akan memberi ruang kepada pemilik mengambil tindakan segera,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Senjata Api Limbahan di Garaj MPV, IPD Penampang, hari ini.

Notis tuntutan awal sudah diserahkan menerusi program pertemuan dialog bersama pemilik senjata, pada Mac lalu supaya diambil tindakan dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, ia membabitkan proses pindah milik bagi waris mengambil senjata api ini, namun malangnya tiada sebarang tindakan diambil daripada pemilik.

“Ramai tidak menuntut senjata ini dipercayai disebabkan mereka sudah tidak berminat memiliki senjata api itu.

“Kebanyakan pemilik senjata api ini adalah dari syarikat keselamatan dan pemilik lesen individu atau persendirian sudah tidak berminat menyimpan senjata lagi,” katanya.

Ini adalah langkah proaktif bahagian pelesenan dan logistik persenjataan IPD Penampang untuk memberi ruang kepada senjata milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam lain.

Dalam majlis berasingan, Mohd Haris mengumumkan penerimaan satu pondok bit PDRM disediakan di Baverly Plaza sebagai salah satu fasiliti keselamatan di kawasan berkenaan.

Kekerapan kehadiran polis di kawasan itu sekali gus akan membantu mengurangkan kemungkinan kejadian jenayah di kawasan ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *