Sabah Antara Negeri Terbaik Banteras Rasuah – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika menyampaikan amanat khas sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa peringkat negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu disiarkan secara maya. – Foto ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU: Sabah menjadi antara negeri terbaik dalam kesungguhan membanteras rasuah apabila mencatat peratusan tinggi dalam Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah 2020.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara terbabit dibuktikan menerusi kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

“Saya dimaklumkan, berdasarkan hasil kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah 2020 oleh SPRM menunjukkan rakyat Sabah menzahirkan 93.3 peratus sokongan dan 83.4 peratus keyakinan ke atas usaha pencegahan rasuah di negeri ini.

“Peratusan tinggi ini memperlihatkan kesungguhan dan kesediaan rakyat Sabah bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah.

“Kajian juga menunjukkan Sabah antara yang terbaik dalam kesungguhan membanteras rasuah.

“Secara keseluruhan, berdasarkan kajian sama di peringkat nasional menunjukkan rakyat negara ini menzahirkan 86.9 peratus (sokongan) dan 75.7 peratus (keyakinan) ke atas usaha pencegahan rasuah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) peringkat negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Negeri, Datuk Samsuni Mohd Nor; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN), Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai dan Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy.

Hajiji berkata, pihaknya menyarankan agensi negeri dan persekutuan memperbanyakkan kempen pemantapan integriti dalam kalangan rakyat negeri ini.

Beliau turut mengingatkan golongan belia untuk tidak terbabit dengan gejala rasuah.

Ini kerana, katanya, lebih separuh golongan itu dilaporkan terbabit dengan kegiatan itu.

“Kempen penyebarluasan mesej antirasuah turut digemblengkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah khususnya kepada golongan belia.

“Kajian SPRM baru-baru ini, menunjukkan daripada keseluruhan responden dikaji, sebanyak 55 peratus golongan belia terbabit dalam gejala rasuah di negara ini.

“Angka ini amat merisaukan kerana mereka ialah pewaris pemimpin negara pada masa hadapan.

“Saya juga menekankan sistem dan prosedur semua agensi perkhidmatan awam negeri perlu dikaji serta diteliti agar tiada ruang dan peluang berlaku rasuah,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2385