Gagal Menyinar Di Gelanggang Politik, Jimmy Kembali Ke Pentas Hiburan

Jimmy Palikat popular dengan lagu Anak Kampung.

KOTA KINABALU: Selepas gagal menyinar dalam gelanggang politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Jimmy Palikat mahu kembali ke pentas hiburan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Anak Kampung itu berkata, dia kini dalam proses merakam lagu baharu yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Bertanding pada PRN satu pengalaman baharu dalam hidup saya walaupun perjalanan kempen yang sukar berikutan beberapa hal peribadi yang anda sedia maklum.

“Saya tidak kecewa (kalah pada PRN) malah ia sebenarnya memberi satu kekuatan baharu untuk terus berjuang dalam hidup.

“Saya sebenarnya kini sedang dalam proses merakam ‘single’ terbaru, sudah lama saya berehat dalam bidang nyanyian dan mungkin ini masa terbaik untuk saya kembali,” katanya kepada FMT.

Jimmy berkata, lagu baharu bakal dikeluarkan itu berkonsepkan “Sabahan” namun diyakini boleh diterima peminatnya di Semenanjung seperti lagu Anak Kampung dulu.

“Buat masa ini tajuknya biarlah saya rahsiakan dulu, nantikan saja apabila ‘single’ yang dicipta Roslee Wahid ini keluar nanti, mudah-mudahan ia mampu mengusik hati peminat saya seperti mana lagu Anak Kampung dulu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan kembali ke gelanggang politik pada masa akan datang, Jimmy berkata perkara itu tidak mustahil.

“Saya sebenarnya bukan meninggalkan sepenuhnya dunia politik, cuma saya mahu berehat sebentar dan kembali fokus kepada industri hiburan.

“Seperti saya katakan sebelum ini, hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya sudah lama saya simpan dan tidak mustahil akan kembali kerana niat saya untuk membantu orang dan memperjuangkan hak rakyat Sabah,” katanya.

Pada PRN lalu, Jimmy yang bertanding atas tiket bebas tewas kepada Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan.

Dalam pertandingan enam penjuru itu, dia hanya mampu meraih 60 undi sekali gus hilang wang deposit. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *