Orang Ramai Di Kompleks Beli Belah Di KK Situasi Biasa Musim Perayaan

Foto Media Sosial Facebook

KOTA KINABALU: Situasi kompleks membeli-belah dipenuhi orang ramai disifatkan sebagai perkara biasa yang berlaku ketika menjelang musim perayaan dan hujung tahun.

Malah, ada ibu bapa yang mula membuat persiapan membeli peralatan persekolahan anak-anak untuk tahun hadapan.

MASIDI MANJUN

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, gambar tular di kompleks membeli-belah semalam adalah situasi normal setiap kali menjelang musim perayaan.

Bagaimanapun, pemantauan dan penelitian yang dilakukan setakat ini mendapati, orang ramai masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial ketika menunggu giliran.

“Pelanggan juga tidak melanggar SOP ditetapkan. Untuk premis pula, mereka didapati masih mengambil langkah pencegahan dengan menggunakan MySejahtera dan buku log bagi merekod kedatangan pelanggan,” katanya ketika mengulas tentang gambar tular di media sosial yang menunjukkan orang ramai sedang beratur menunggu giliran masuk di sebuah kompleks membeli-belah semalam.

Beliau berkata demikian semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Masidi menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Sabah.

Foto Media Sosial Facebook

Ditanya mengenai kelonggaran diberikan walau kes Covid-19 di Sabah masih tiga angka, Masidi berkata, faktor kes tinggi bukan satu-satunya faktor yang diambil kira ketika memberi kelonggaran bagi sektor tertentu.

Katanya, kerajaan negeri telah meneliti pelbagai aspek termasuk aspek ekonomi dan mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa memutuskan memberi kelonggaran.

“Walau kelonggaran diberi tapi kita masih di bawah PKPB. Masih ada kawalan dan syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

“Kita tidak boleh terus menutup sektor ekonomi kerana ramai yang mengalami kerugian dan sebagai kerajaan, kita kena bertanggungjawab untuk itu,” katanya.

Tambahnya, kerajaan membernarkan aktiviti tertentu dilakukan tetapi, orang ramai masih perlu mematuhi SOP ditetapkan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *