Covid-19: 1,600 Kes Baharu Hari Ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,600 kes baharu positif Covid-19 direkodkan dengan dua kematian, setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak di negara ini sebanyak 74,294 kes manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 11,604 kes.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu itu, tiga kes import manakala 1,597 kes membabitkan penularan tempatan.

“Negeri Sembilan melaporkan jumlah kes harian tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 541 kes, diikuti Selangor (426 kes) dan Sabah (248 kes).

“Lonjakan kes di Negeri Sembilan adalah disebabkan oleh pertambahan kes dalam Kluster Bakti iaitu sebanyak 500 kes (92.4 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes di negeri itu. Kes adalah terasing di dalam kawasan penjara.

“Secara keseluruhan, 584 kes yang dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara membabitkan Kluster Bakti (500 kes), Kluster Tembok (49 kes), Kluster PTS Sibuga (17 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (lapan kes), Kluster Matambai (tujuh kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (dua kes) dan Kluster GK Tawau (satu kes),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,033 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 62,306 kes atau 83.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata, terdapat 129 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *