PKPB Tak Halang Pasangan Petugas Barisan Hadapan Akhiri Zaman Bujang

SEMPORNA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah tidak menghalang dua petugas barisan hadapan dari dua negeri diijabkabul di sini, semalam.

Anggota polis, Hamisa Uggak dari Kampung Salimbangun di sini dan pasangannya anggota tentera berasal dari Kedah, Hasmizat Abu Hassan diijabkabul di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Semporna pada 11 pagi.

Hamisa, 23, yang bertugas di Kedah berkata pernikahan berkenaan sepatutnya diadakan pada Jun lepas namun tertangguh ekoran cuti dibekukan.

“Jadi majlis itu ditunda pada bulan ini, kali ini pun, saya mendapat kelulusan cuti pada saat akhir, jika tidak (pernikahan) akan dianjak lagi pada Febuari tahun depan.

Namun syukur pada saat akhir, pihak atasan beri kebenaran untuk saya bercuti, jadi saya berbincang dengan suami yang bertugas di Kota Kinabalu untuk pernikahan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Anak bongsu dari tujuh beradik itu berkata, dalam proses majlis itu banyak cabaran turut dilalui antaranya berdepan kekangan prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri yang ditetapkan.

“Meskipun saya seorang anggota polis, saya juga perlu akur kepada SOP yang ditetapkan kerana saya bertugas di Kedah dan untuk pulang ke Semporna saya juga perlu mendapatkan borang kelulusan rentas negeri.

“Untuk pulang ke Semporna, saya juga terpaksa mengambil ujian saringan COVID-19 dan selepas itu tidak ada jadual penerbangan terus dari Kedah ke Tawau seperti sebelumnya, saya terpaksa bermalam di lapangan terbang,”katanya.

Sementara itu, suaminya, Hasmizat, 23, berkata meskipun urusan pernikahan itu tanpa kehadiran keluarga yang berada di Kedah namun hubungan itu direstui semua keluarga.

“Keluarga semua tak dapat merentas negeri tetapi mereka semua merestui hubungan ini, malah di sebelah isteri saya pun, empat abang dan seorang kakaknya tidak dapat bersama kami pada majlis kali ini,”katanya.

Hamisa bertemu dan mengenali Hamizat, ketika anggota tentera itu pulang bercuti di kampungnya di Kedah. Kedua-dua pengantin baharu itu dijadual kembali ke lokasi bertugas selepas cuti 14 hari masing-masing tamat. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3077