Lelaki Maut, Kerbau Mati Terkena Renjatan Elektrik Di Papar

Mangsa ditemukan terbaring bersama seekor kerbau di tepi pagar berhampiran tiang elektrik di hadapan rumah di Kampung Kuala Papar, Papar.


PAPAR : Seorang lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di hadapan rumahnya di Kampung Kuala Papar dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, Salaman Dollah, 54, ditemukan dalam keadaan terbaring bersama seekor kerbau miliknya yang turut mati di tepi pagar berhampiran tiang elektrik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Papar, Roslie Jun berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.38 pagi dan sepasukan anggota bersama jentera dikejar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa telah terbaring bersama seekor kerbau di kawasan tepi pagar hadapan rumah dan kawasan itu juga didapati berair.

“Hasil pemeriksaan awal, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dari sumber tenaga tiang elektrik yang terletak di bahagian hujung pagar berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Roslie berkata, pihaknya terpaksa menunggu pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi memastikan kawasan itu selamat sebelum operasi dimulakan.

“Selepas pemeriksaan dibuat oleh pihak hospital, mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 8.36 pagi. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5062