Bapa Didakwa Lakukan Amang Seksual Terhadap Anak Kandung

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang bapa berusia 45 tahun mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berumur 8 tahun.

Pengakuan lelaki berkenaan direkodkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Dana Arabi Wazani yang duduk sebagai Hakim Mahkamah Sesyen, di sini.

Menurut kertas pertuduhan yang dibacakan terhadap tertuduh, dia didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dengan memasukkan tangan dan kemaluannya ke dalam kemaluan kanak-kanak berkenaan.

Kesalahan dilakukan di dalam sebuah bilik sewa di Inanam di antara bulan Mac sehingga bulan Jun tahun ini.

Lelaki berkenaan didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Affendy meminta satu tarikh baharu untuk menyebut semula kes itu dan menolak sebarang ikat jamin diberikan kepada tertuduh kerana risiko mengganggu kanak-kanak berkenaan yang juga anak kandung tertuduh sendiri.

Manakala, peguam, Lawrence Lim yang mewakili tertuduh di bawah Yayasan Bantuan Guaman Nasional memohon jaminan terhadap tertuduh dengan alasan bahawa tertuduh yang juga bekas pemandu lori tidak dapat berjalan dengan sempurna disebabkan keretakan pada kaki kirinya dan kini menganggur.

Lawrence menambah bahawa tertuduh mempunyai seorang isteri yang kurang upaya akibat strok dan tertuduh memberi jaminan untuk bekerja di luar supaya jauh daripada anaknya itu sekiranya diberikan jaminan.

Pada persidangan berkenaan, mahkamah juga mendengar bahawa tertuduh mempunyai satu lagi kes dadah di Mahkamah Majistret di mana dia diberi jaminan RM1,000 dengan dua penjamin tempatan.

Dana kemudian menetapkan pengurusan kes pada 7 Januari tahun hadapan dan memerintahkan tertuduh ditahan lebih lanjut mengikut sementara menunggu kes selesai.  – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *