Penerbangan Ihsan TUDM Bawa Dua Bayi Dari Sabah Dirawat Di IJN

Penerbangan  ihsan dilaksanakan TUDM membawa dua bayi lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan Udara Subang. Gambar Ihsan TUDM

KUALA LUMPUR : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ihsan membawa dua bayi lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan Udara Subang bagi mendapatkan pembedahan segera dan rawatan selanjutnya di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.

Dalam satu kenyataan media Bahagian Perhubungan Awam TUDM berkata, bayi yang dibawa ialah Raava Whilby Renold berusia satu bulan mengalami masalah malformasi injap dan masalah jantung dan Haiyan Ali Mohd Aliff berusia dua bulan mengalami masalah jantung berlubang dengan malformasi pembuluh darah besar.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua bayi berkenaan sebelum ini sudah menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Kota Kinabalu.

“Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut C130H dari No. 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.

“Pesawat diterbangkan oleh dua set juruterbang iaitu set pertama Mejar Khairol Fadzley Abu Bakar (TUDM) selaku juruterbang dan Kapten Muhammad Faiz Ahmad Shukri (TUDM) sebagai pembantu juruterbang.

“Set kedua pula adalah Mejar Ahmad Zikri Azhar TUDM selaku juruterbang dan Kapten Jamaludin Juhari TUDM sebagai pembantu juruterbang,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, anak kapal lain turut terbabit adalah Jurutera Penerbangan Mejar Yusri Samion (TUDM) dan Kapten Khairul Anuar Khalid (TUDM), Jurumalim Kapten Nor Sazmil Nor Azman (TUDM) dan Loadmaster FSjn Wahiyudin Wahid, FSjn Kiranjit Kaur Jagir Singh serta Sarjan Udara Hanif Hashim.

Katanya, turut mengiringi bayi dalam penerbangan adalah seorang pegawai perubatan, seorang jururawat dan juga ibu kepada bayi masing-masing.

“Selain itu, pesawat ini juga turut membawa sampel ujian Covid-19 dari Kota Kinabalu bagi pelaksanaan ujian pengesahan di makmal-makmal semenanjung.

“Pesawat C130H berlepas dari Kota Kinabalu pada 3.14 petang dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada 6.27 petang seterusnya dua bayi berkenaan dibawa ke IJN oleh pasukan petugas yang sedia menunggu ketibaan pesakit.

“Seluruh warga TUDM mendoakan supaya bayi berkenaan menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik,” katanya.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM berharap usaha yang dilaksanakan TUDM dengan kerjasama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan serta membantu meringankan bebanan yang ditanggung keluarga bayi berkenaan.

TUDM, katanya, sentiasa komited melaksanakan tugas dipertanggungjawabkan di dalam menjaga kedaulatan negara tercinta dan pada masa sama turut menunaikan tanggungjawab kemanusiaan khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua anak kapal serta pihak yang terlibat dalam memastikan misi yang dilaksanakan berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *