Jamawi Dilantik Pengerusi Baharu SUDC

amawi sambil disakiskan oleh Pengurus Besar SUDC Anthony Undan Dumpangol (kanan) dan Timbalan Pengurus Besar Datin  Leena Toyoi (kiri) menandatangani surat terima tugas.

KOTA KINABALU: Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC) yang baharu Jamawi Jaafar berkata amanah yang diberikan oleh kerajaan negeri bagi beliau menggalas tugas sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan merupakan satu cabaran baharu untuk dilaksanakan.

Katanya tugas serta tanggungjawab tersebut di luar dari kemahiran beliau yang lebih akrab dalam bidang pertanian namun beliau beranggapan ianya satu cabaran baharu yang mendorong beliau berfikir di luar kotak pemikiran.

“ Saya anggap ini satu cabaran baharu, namun dengan adanya pihak pengurusan yang sediada serta berpengalaman dengan membudayakan konsep kerja berpasukan saya yakin tugas serta tanggungjawab ini mampu dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanat awalnya bersama pihak pengurusan SUDC selepas menerima surat pelantikannya sebagai pengerusi baharu SUDC yang disampaikan oleh bekas Pengerusi SUDC sebelum ini Datuk Bonipasiius Bianis @Boniface di Pejabat SUDC Wisma MAA dekat sini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Besar Kumpulan SEDCO Datuk Haji Pangiran Saifuddin Pg Tahir, Pengurus Besar SUDC Anthony Undan Dumpangol, Timbalan Pengurus Besar Datin Leena Toyoi serta pegawai pegawai kanan SUDC.

Menurut Jamawi yang juga bekas Wakil Rakyat Kemabong, SUDC yang terlibat dalam sektor pembangunan hartatanah pusat komersial dan perumahan sudah tentu berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya ketika ekonomi negara merundum ekoran penularan pandemik koronavirus Covid-19 yang bukan sahaja dihadapi oleh negara malah hampir seluruh dunia sedikit menjejaskan usaha membangun dan meransang ekonomi negeri Sabah menerusi pembangunan hartatanah.

“ Kita akan mencari makanisme baharu untuk menangani cabaran ini dan ini akan kita perincikan dalam mesyuarat pengurusan yang akan datang,” jelas beliau.

Sambil menghargai  dan berterima kasih kepada kerajaan GPS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang memberikan kepercayaan melantik beliau sebagai Pengerusi SUDC yang baharu Jamawi berharap konsep kerja berpasukan dalam organisasi tersebut akan terus menjadi budaya bukan sahaja di pihak pengurusan malah di peringkat kaki tangan bawahan.

“ Kejayaan organisasi ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab sepenuhnya oleh pihak pengurusan tertinggi malah semua pihak perlu mengamalkan budaya kerja berpasukan bagi meletakkan SUDC sebagai salah sebuah syraikat berkaitan kerajaan di negeri ini  dalam mencipta kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang,” tambah Jamawi. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2487