Bekalan Air 16 Kampung Di Tungku Pulih Berperingkat

LAHAD DATU, 3 Dis : Bekalan air di 16 kampung di kawasan Tungku dekat sini, yang terjejas sejak Isnin lepas dijangka pulih secara berperingkat mulai petang ini.

Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku Firuz Idzualdeen Mohd Dzul berkata ketika ini kerja-kerja pengisian tangki simpanan sedang dijalankan selepas penutupan sementara Loji Rawatan Air Kampung Membatu Tungku bagi pemeriksaan genset ke panel.

“Difahamkan bekalan air akan disambung semula petang ini setelah pengisian tangki simpanan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) selesai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebelum penutupan itu, JANS mengeluarkan notis berhubung perkara berkenaan dan penduduk telah dimaklumkan.

Pada Isnin lepas, JANS mengeluarkan notis membabitkan penutupan air di 16 kampung di Tungku dan gangguan bekalan air berlaku sehingga kerja-kerja pemeriksaan selesai dilakukan.

Kampung terlibat adalah Kampung Membatu, Kampung Siburral, Kampung Merabung, Kampung Bangkarat, Kampung Makuau, Kampung Telisai, Kampung Manar, Mesej Nala, Kampung Sri Darun, Kampung Nala, Kampung Barigas, Kampung Teburi, Kampung Ulang-Ulang, Kampung Dengan, Kampung Mundas serta Kampung Sri Hak.

Menurut notis itu, bekalan air di sesetengah kawasan akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya terutama di kawasan tinggi dan hujung liputan air.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Careline 24 jam di talian 088-326888. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *