RM208,200 Untuk 357 Pemandu Bas Sekolah Di Sabah

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 3 Dis : Peruntukan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM208,200 untuk 357 pemandu bas sekolah di Sabah telah disalurkan kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah pada 30 Nov, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata kementerian melalui LPKP Sabah membuka permohonan BPN untuk pemandu bas sekolah mulai 5 Ogos lepas.

Menurutnya, LPKP Sabah menerima 347 permohonan dan kesemuanya telah melalui proses semakan, tapisan serta layak menerima bantuan itu dalam tempoh berkenaan.

“Berdasarkan senarai 69 pemandu yang dikemukakan oleh pihak Yang Berhormat, didapati 41 pemandu termasuk dalam senarai 347 pemandu yang layak, manakala 28 pemandu adalah tidak tersenarai dan LPKP Sabah tidak mempunyai rekod permohonan daripada pemandu-pemandu itu,” katanya dalam ucapan sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada usul Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) mengenai ‘Bantuan Prihatin RM600 Pemandu Bas Sekolah Di Sabah ‘.

Terdahulu Chan ketika berucap membangkitkan isu berkenaan, berkata beliau menerima 69 aduan daripada pemandu bas sekolah di sekitar Kota Kinabalu.

Hasbi berkata LPKP Sabah menyarankan supaya pemandu-pemandu berkenaan mengemukakan kepada lembaga itu beberapa maklumat untuk semakan dan seterusnya mengemukakan permohonan peruntukan kerana terdapat maklumat pemandu yang tidak lengkap dalam senarai berkenaan.

Katanya antara maklumat yang diperlukan ialah salinan kad pengenalan, salinan lesen memandu PSV, salinan lesen atau permit kenderaan, salinan lesen berniaga (bagi milik syarikat) dan maklumat akaun bank pemandu iaitu nama bank dan nombor akaun bank pemandu.

Dalam pada itu, LPKP Sabah juga mengambil maklum akan kelewatan pembayaran bantuan tersebut kerana antara isu yang dihadapi lembaga berkenaan adalah maklumat yang dikemukakan pemohon tidak lengkap dan kesilapan maklumat dalam melengkapkan permohonan.

Sehubungan itu menurutnya, LPKP Sabah perlu menghubungi semula pemohon untuk melengkapkan maklumat yang diperlukan selain mengenal pasti kesahihan maklumat yang dikemukakan pemandu.

“Tapisan perlu dibuat bagi mengelakkan permohonan bertindih dan mengelakkan pemohon yang tidak berlesen di LPKP Sabah turut menerima bantuan ini memandangkan permohonan dibuat secara online (dalam talian) dan melalui borang (manual).

“Ini kerana kaedah permohonan online adalah melalui Google Form sahaja dan pengesahan maklumat lesen perlu dibuat secara manual dengan membandingkan data pelesenan LPKP Sabah sedia ada,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1228