Covid-19 Ragut 11 Nyawa Hari Ini, 1,075 Kes Baharu

PUTRAJAYA: Angka korban akibat Covid-19 hari merekodkan 11 kes kematian, antara tertinggi selepas wabak itu meragut 12 nyawa pada 3 Nov.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 11 kes kematian itu membabitkan tujuh perempuan dan empat lelaki berumur antara 50 tahun hingga 81 tahun.

“Kebanyakan mereka mempunyai sejarah penyakit kronik antaranya kencing manis, jantung, darah tinggi dan strok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Angka korban itu menjadikan jumlah kes kematian kumulatif sebanyak 376 kes.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 1,075 kes baru Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, sementara 948 kes sembuh.

“Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 495 kes diikuti Sabah (310 kes), Johor (78 kes), Negeri Sembilan (52 kes), Kuala Lumpur (49 kes), dan Pulau Pinang (43 kes),” katanya.

Sehingga kini, terdapat 116 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 46 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Setakat hari ini, Malaysia merekodkan 69,095 kes Covid-19 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 10,802 kes.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2271