KWSP i-Sinar: Pembayaran Untuk Ahli Yang Layak Bermula Pertengahan Januari 2021

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membahagikan pencarum yang layak untuk kemudahan i-Sinar kepada dua kategori.

KWSP dalam kenyataan berkata, bagi Kategori 1, mereka yang layak termasuk ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

“Kriteria bagi Kategori 1 meliputi ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut ketika permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak

30 peratus dan ke atas selepas 1 Mac 2020,” katanya.

Katanya, bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan dan kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP.

Malah, ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.

Pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021.

KWSP berkata, bagi Kategori 2, ia meliputi ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas 1 Mac 2020, yang mana pengurangan itu hanya boleh dikenalpasti melalui dokumen yang diberikan.

“Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan; dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa.

“Jika dokumen tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti

penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan,” katanya.

Bagi kategori ini, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021.

Untuk memastikan permohonan dipertimbangkan dengan terperinci, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat.

Pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.

Sementara itu, jumlah kelayakan i-Sinar adalah bergantung kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini.

Sekiranya ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1, mereka boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Bagi memastikan kelancaran proses permohonan, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) di kios atau kaunter KWSP, dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *