33 Pegawai, Anggota Polis Sabah Positif Covid-19

Datuk Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Seramai 33 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh Sabah disahkan positif Covid-19.

Manakala seramai 232 lagi warga PDRM dikenakan arahan kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga selepas dikhuatiri terdedah kepada jangkitan virus berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, tugasan polis sebagai barisan hadapan berpotensi besar mendedahkan warga PDRM kepada wabak berkenaan.

Bagaimanapun katanya, ia tidak melemahkan semangat pasukan polis untuk terus bertugas menjaga keamanan dan mengawal penularan wabak Covid-19.

“Statistik jangkitan Covid-19 dalam warga PDRM sentiasa berubah dari semasa ke semasa dan pernah satu ketika lebih 900 anggota dan pegawai dikuarantin.

“Begitu juga dengan anggota dan pegawai yang dijangkiti sebelum ini pernah mencecah seramai 72 orang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hazani berkata, setakat ini, hanya seorang anggota yang meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19 iaitu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bulan lalu.

“Untuk makluman, polis sendiri pun ada positif Covid-19, dan laporan setakat ini merekodkan seramai 33 pegawai dan anggota positif Covid-19 manakala 232 sedang dikuarantin.

“Ini membabitkan keanggotaan pelbagai pangkat di seluruh Sabah. Bagaimanapun keadaan semua mereka stabil,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata, kes jenayah rompakan di laut menurun sejak akhir-akhir ini namun masih berlaku membabitkan beberapa kes yang berjaya diselesaikan.

Katanya, begitu juga cubaan pendatang asing tanpa izin (Pati) masuk ke negara ini namun ketangkasan pihak berkuasa dalam menjalankan Op Benteng berjaya mengawalnya dengan baik.

“Berlaku dua tiga kes di laut dan kita berjaya menangkap suspek untuk kes di Semporna dan merampas sepucuk pistol yang digunakan dalam rompakan.

“Kita akan terus bekerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menjaga perairan Sabah,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *