Sisa Klinikal Covid-19 Di Sabah 6 Hingga 13 Tan Sehari

KOTA KINABALU: Syarikat pengendali sisa klinikal di Sabah, Sedafiat Sdn Bhd (Sedafiat) menerima antara enam hingga 13 tan sisa sehari berikutan peningkatan pesakit COVID-19 di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu termasuk sisa buangan dikumpul dari 45 pusat kuarantin COVID-19 di seluruh Sabah.

“Syarikat berkenaan juga adalah konsesi yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menguruskan pengangkutan, rawatan dan pelupusan sisa klinikal dari fasiliti kesihatan milik KKM di Sabah,” katanya pada sidang media perkembangan semasa COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Beliau mengulas aduan orang ramai yang bimbang mengenai lambakan sisa klinikal di pekarangan dan tepi jalan premis syarikat terbabit di kawasan perindustrian Lok Kawi, dekat sini.

Sedafiat adalah syarikat dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah untuk merawat dan melupuskan sisa klinikal di seluruh negeri ini.

Masidi berkata, jumlah sisa klinikal yang tinggi itu menyebabkan syarikat berkenaan berdepan kelewatan melupuskan sisa hingga berlaku lambakan di pusat pelupusannya.

Katanya, situasi itu diakui JAS negeri yang memantau operasi syarikat berkenaan sejak penularan pandemik COVID-19 yang bermula Mac lalu.

Masidi berkata, kerajaan negeri turut menggariskan beberapa langkah untuk mengatasi lambakan sisa klinikal berkenaan termasuk memastikan pengurusan sisa klinikal syarikat terbabit adalah mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Selain itu, katanya syarikat terbabit turut diarahkan mematuhi Panduan Pengendalian dan Pengurusan Sisa Klinikal di Malaysia serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Kerajaan juga mengarahkan syarikat berkenaan menyegerakan pembinaan insinerator. JAS juga memberi kebenaran kepada syarikat berkenaan yang sisa klinikal di negeri ini untuk dilupuskan di Semenanjung.

“Pihak KKM sudah diminta memaklumkan penghantaran kontena sisa klinikal ini kepada pihak berkuasa pelabuhan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mempercepatkan penghantaran sisa klinikal untuk diluluskan segera,” katanya.

Masidi berkata, Sedafiat juga diarahkan mencari kaedah pembungkusan sisa klinikal lebih efektif menggunakan bekas bersaiz besar bagi mempercepatkan pengisian ke dalam kontena dan mengurangkan longgokan sisa klinikal di luar premis. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

790