Saya Tak Berminat Sertai Mana-Mana Parti Politik – Tengku Zafrul

Kata Tengku Zafrul, tumpuan beliau pada masa ini ialah membantu Malaysia memerangi COVID-19 dan meningkatkan kedudukan ekonomi negara. – Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Beliau bukan seorang ahli politik dan tidak pernah cenderung ke arah itu, tokoh bank dan kini merupakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz tekad untuk kekal sebagai seorang ahli teknokrat dan akan terus memastikan kehidupan dan mata pencarian rakyat negara ini dilindungi terutama dalam situasi penularan pandemik kesihatan pada masa ini.

“Saya tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politikpun dan sebagai mana yang anda tahu, pada masa ini saya bukan ahli mana-mana pihak,” kata beliau ketika ditanya sekiranya beliau berminat untuk menyertai politik dan seterusnya menjadi wakil rakyat.

Ada banyak lagi tugas yang perlu dilakukan untuk merancakkan ekonomi dan itulah fokus utama sekarang, kata beliau.”Saya ingin memberi tumpuan bagaimana saya boleh membantu Malaysia memerangi COVID-19 dan meningkatkan kedudukan ekonomi kita.

Jadi, fokus saya sekarang ialah terhadap ekonomi,” kata Tengku Zafrul kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

“Oleh itu, buat masa ini, saya tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik,” kata beliau yang percaya akan kemampuannya dalam membangunkan ekonomi negara yang terjejas oleh pandemik kesihatan tanpa perlu berpolitik.

Ekonomi Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan penguncupan -2.7 peratus pada suku ketiga 2020 berbanding -17.1 peratus pada suku kedua, mengambil kira tempoh tujuh minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac yang dikuatkuasa bagi membendung penularan COVID-19.

Tengku Zafrul mengangkat sumpah sebagai Senator pada 10 Mac, 2020 berikutan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan.

Kerajaan telah melonggarkan sekatan PKP pada 4 Mei dan perniagaan dibenarkan menyambung operasi mengikut sektor dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.Berikutan itu, kadar pengangguran telah menurun kepada 4.6 peratus pada September daripada 5.3 peratus pada Mei tahun ini.

Pelbagai pakej rangsangan juga telah diperkenalkan iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Prihatin SME+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kita Prihatin – keseluruhannya bernilai RM305 bilion setakat ini.

Berasal dari dunia korporat, beliau baru-baru ini menerima kecaman ketika mengumumkan beberapa inisiatif baharu semasa sesi ucapan penggulungan Belanjawan 2021.

Mempertahankan tindakan itu, beliau berkata – mungkin dalam situasi luar biasa, memerlukan langkah dan tindakan yang luar biasa juga.

Menerusi catatan di Facebook, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa inisiatif itu bukan cadangannya tetapi datang daripada penggubal undang-undang itu sendiri semasa sesi perbahasan di parlimen.

“Kesemua penambahbaikan yang diumumkan adalah hasil cadangan daripada ahli-ahli Yang Berhormat (YB) sendiri — baik daripada kerajaan mahupun pihak pembangkang,” kata beliau.

“Contohnya, cadangan untuk memanjangkan pemberian khas secara ‘one-off‘ kepada petugas barisan hadapan yang diiktiraf di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dibangkitkan oleh, antara lain, YB Pontian, YB Ipoh Barat, YB Hulu Rajang dan YB Lembah Pantai – kesemuanya daripada parti politik yang berbeza,” kata Tengku Zafrul.

Keputusan untuk memanjangkan bantuan dibuat setelah mengambil kira hujahan-hujahan di Parlimen seperti gelombang ke-3 COVID-19 yang kian menular dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri.

Begitu juga penambahan pemberian program eBelia daripada RM50 kepada RM100, dan perluasannya kepada 1.1 juta mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan IPT swasta.

“Tetapi dalam perkhabaran baik ini, saya ada pengakuan – kerajaan tidak mampu menerima atau melaksanakan kesemua cadangan yang dibangkitkan.”

“Seperti yang saya sebut ketika penggulungan tempoh hari, peranan kerajaan adalah untuk sentiasa mengimbangi kepentingan-kepentingan yang pelbagai – baik dari segi implikasi kos, memastikan penerima adalah yang benar-benar memerlukannya, implikasi kepada pasaran atau penarafan ekosistem perbendaharaan negara.

Saya akui, ia bukan sesuatu yang mudah.””Namun, apabila berbangkitnya pertembungan antara kepentingan-kepentingan ini, kerajaan akan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Tiada kompromi,” jelas beliau. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *