PERKESO Sumbang PPE Kepada Barisan Hadapan Kesihatan Di Sabah

Pengarah Pejabat PERKESO Negeri Sabah, Dr Mohd Ali Hindia menyampaikan sumbangan PPE kepada Pengarah JKNS, Datuk Dr Christina Rundi bertempat di pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah. – Foto ihsan PERKESO

KOTA KINABALU, 28 Nov : Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menyerahkan 280 set peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk kegunaan petugas barisan hadapan kesihatan di negeri ini.

Penyerahan dibuat oleh Pengarah Perkeso Negeri Sabah Dr Mohd Ali Hindia kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi pada satu majlis ringkas di sini hari ini.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam ucapannya yang ditayangkan melalui rakaman video semasa majlis itu berkata Perkeso telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan PPE bagi menampung keperluan petugas barisan hadapan kesihatan di Sabah ekoran bilangan kes yang masih tinggi.

“Kesemua 280 set PPE telah dihasilkan di Bengkel Jahitan Vokasional, Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka dalam tempoh lima hari. Set PPE tersebut dihasilkan oleh 15 orang termasuk pelatih vokasional dan Orang Berinsurans Perkeso yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat ini.

“Perkeso bukan sahaja menyediakan faedah kepada pekerja yang ditimpa bencana, malah kami juga mengutamakan keselamatan petugas barisan hadapan terutama dalam menangani keperluan bekalan PPE di hospital-hospital,” katanya.

Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat membantu mengurangkan risiko yang  dihadapi oleh petugas-petugas kesihatan yang sentiasa bertungkus lumus melawan penularan COVID-19 dan menyumbang kepada usaha kerajaan pusat dan negeri memerangi wabak COVID-19.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *