Waris Tak Mampu Sewa Van Jenazah Dari KK Ke Kudat

Van Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu lengkap dengan PPE memuatkan keranda jenazah positif Covid-19 di HQE Kota Kinabalu sebelum dihantar ke Kudat bagi proses pengebumian. Gambar Ihsan Persatuan Amal Sabah

KOTA KINABALU: Persatuan Amal Sabah tampil membantu mengurus jenazah seorang pesakit Covid-19 bukan Islam yang masih disimpan di rumah mayat Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, semalam.

Pengasasnya Masrul Guding, berkata pihaknya dihubungi unit forensik HQE memohon bantuan untuk menghantar jenazah terbabit menggunakan perkhidmatan Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu ke Kudat, dengan jarak kira-kira 150 kilometer.

Beliau berkata, waris mendiang wanita berusia 56 tahun itu tidak mampu menyewa van jenazah berbayar untuk mengurus jenazah Covid-19 berikutan kos pengangkutan yang tinggi.

“Kami difahamkan jenazah terbabit sepatutnya dibawa untuk dikebumikan dua hari lalu tetapi warisnya tidak mampu membayar sewa van jenazah yang mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000 kerana bayaran membawa jenazah Covid-19 lebih tinggi berbanding jenazah biasa.

“Malah, difahamkan keranda untuk jenazah juga diuruskan oleh pihak forensik kerana warisnya memang betul-betul susah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Masrul berkata, memahami keadaan waris jenazah terbabit, pihaknya tidak berfikir panjang untuk menghulurkan bantuan sehingga proses pengebumian jenazah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) selesai.

Katanya, ia juga adalah jenazah bukan Islam positif Covid-19 yang pertama dikendalikan kru Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu sejak mengendalikan jenazah Covid-19 bermula awal bulan ini.

“Alhamdulillah, kami tiada halangan untuk membantu siapa saja tanpa mengira bangsa dan agama. Jika diperlukan, kami pasti membantu sehingga selesai proses pengebumian, lebih-lebih lagi bagi kes Covid-19 hanya pihak yang dibenarkan KKM boleh mengendalikan jenazah,” katanya.

Katanya, dua kru Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu, Soffian Jais dan Herwan Adris ditugaskan menghantar jenazah terbabit ke Kudat yang memakan masa kira-kira tiga jam perjalanan sebelum kembali semula ke Kota Kinabalu untuk misi bantuan seterusnya.

Masrul berkata, kesukaran mendapatkan van jenazah untuk kes Covid-19 juga antara sebab berlaku kes jenazah Covid-19 lambat dikebumikan, bukan kerana pihak hospital tidak melepaskan jenazah untuk meminta bayaran daripada waris.

“Baru-baru ini ada pihak menyebarkan tuduhan kononnya pihak hospital tidak membenarkan jenazah Covid-19 dibawa keluar selagi waris tidak membuat bayaran.

“Apa yang betul ialah pihak hospital tidak meminta apa-apa bayaran daripada waris, sebaliknya kelewatan kadang-kadang berlaku kerana isu bayaran dikenakan pengendali van jenazah berbayar,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembabitan kru Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu mengendalikan jenazah Covid-19, beliau berkata pematuhan SOP dan penggunaan pakaian perlindungan diri (PPE) sudah menjadi perkara biasa bagi krunya.

“Walaupun ada kebimbangan mengenai jangkitan Covid-19 tetapi kami tetap melaksanakan tugas membantu mengurus fardu kifayah ini, bukan setakat menghantar jenazah ke tanah perkuburan, malah membantu proses pengebumian juga,” katanya.

Sehingga kini, katanya perkhidmatan Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu yang ditubuhkan pada September lalu sudah mengendalikan lima kes jenazah Covid-19 termasuk turut sama menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah.

Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, van jenazah akan disanitasi pihak hospital setiap kali selesai menghantar jenazah positif Covid-19. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5688