Covid-19: Sabah Catat Kes Sembuh Tertinggi

KOTA KINABALU : Sabah hari ini mencatat kes pesakit koronavirus (Covid-19) tertinggi apabila seramai 1,934 pesakit dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital di seluruh negeri hari ini.

Ini adalah hari kedua negeri itu mencatat angka sembuh yang tinggi selepas semalam iaitu seramai 833 pesakit sembuh dicatatkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah pesakit yang sihat itu sekali gus menjadikan kumulatif pesakit sembuh di negeri ini adalah seramai 21,655 orang.

“Hari ini Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut melaporkan jumlah kes positif baharu Covid-19 adalah sebanyak 293 kes dan jumlah kumulatif ialah sebanyak 26,912 kes serta dua kes kematian dicatat di Sandakan.

“Seramai 2,064 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 635 orang di hospital dan 1,429 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) dan bilangan pesakit berada di dalam di unit rawatan rapi (ICU) ialah 65 orang dan 18 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya dalam kenyataan media harian, hari ini.

Masidi dalam pada itu turut memaklumkan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Taman Telipok Ria, Tuaran bermula Jumaat ini hingga 10 Disember depan.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mendengar pembentangan daripada MKN Sabah mengenai peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) di Taman Telipok Ria, Tuaran.

“Sehingga Ahad lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 2,609 saringan di mana telah merekodkan sebanyak 253 kes positif Covid-19 dan sehingga kini, masih terdapat 581 sampel saringan yang masih menunggu keputusan.

“Pelaksanaan PKPD ini membabitkan keluasan kawasan 229,459 meter persegi, 3,400 unit rumah dan 18,000 penduduk,” katanya.

Terdahulu, Masidi memaklumkan jumlah kes jangkitan Covid-19 mengikut daerah hari ini adalah Kota Kinabalu mencatat sebanyak 101 kes diikuti Lahad Datu (82), Tawau (35), Penampang (28) dan Sandakan (15).

“Putatan mencatat lapan kes, Semporna (7), Tuaran, Pitas dan Papar masing-masing catat empat kes manakala Kota Belud, Beluran, Keningau, Kuala Penyu dan Kalabakan masing-masing mencatat satu kes.

“Kalabakan hari ini disenaraikan sebagai sebuah daerah dan dimasukkan dalam senarai zon kuning dan hari ini juga terdapat satu kluster baharu dikenal pasti di Lahad Datu iaitu Kluster D’Bajaru dengan mencatatkan sebanyak 56 kes hasil saringan komuniti di Kampung Dasar Baru dan Kampung Desa Bajau,” kata beliau.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *