Seramai 734 Kakitangan Kesihatan Di Sabah Dijangkiti Covid-19

Petugas kesihatan bersiap sedia melakukan ujian saringan COVID-19 ketika bertugas di kawasan penempatan di Saguking, Labuan.

KOTA KINABALU: Seramai 734 petugas barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan di Sabah dijangkiti COVID-19 sehingga kini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata daripada jumlah itu 85 kes atau 11.6 peratus masih aktif.

“Sehingga kini 666 orang atau 89 peratus petugas kesihatan yang dijangkiti itu dilaporkan sudah sembuh, manakala 490 lagi masih dalam kuarantin.

“Dengan kumulatif 734 kes positif itu menunjukkan ramai dalam kalangan kakitangan kesihatan di negeri ini turut dijangkiti COVID-19,” katanya ketika sidang media perkembangan semasa COVID-19 Sabah, malam ini.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah merekodkan 84 kluster COVID-19 setakat ini dengan 63 masih aktif, manakala 13 kluster mencatat pertambahan kes baharu.

“Daripada kluster aktif, penyumbang paling banyak jangkitan baharu ialah Kluster Telipok Ria di Tuaran.

“Untuk hari ini, dua lagi kluster baharu turut dilaporkan di negeri ini iaitu Kluster Blok 31 dan Kluster Bot Biru di Tawau, masing-masing mencatat lapan dan enam kes.

“Kluster Blok 31 dikenal pasti berpunca daripada majlis makan malam, manakala Kluster Bot Biru membabitkan kakitangan Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya.

Hari ini, Sabah mencatat 326 kes baharu positif COVID-19 dengan pertambahan 33 kes berbanding semalam, menjadikan kumulatif 27,238 kes setakat ini.

Tiga kematian turut dilaporkan hari ini, masing-masing di Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1845