3 Pelajar Cari ‘Line Internet’ Untuk Kelas ‘Online’ Jatuh Jambatan

Keadaan  jambatan gantung yang runtuh di Kampung Gusi sehingga mengakibatkan tiga pelajar SMK Ulu Sugut cedera. –

RANAU: Tiga pelajar yang sedang mencari akses internet untuk mengikuti kelas dalam talian, terjatuh dari jambatan gantung yang runtuh di Kampung Gusi, Isnin lalu.

Kejadian dipercayai kira-kira jam 9 malam membabitkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut, di sini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan, seorang pelajar patah kaki dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.

“Mereka cuba mengakses internet di bahagian tertentu di jambatan gantung berkenaan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan akan segera ke kampung berkenaan untuk menilai keadaan dan mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk membaiki jambatan terbabit.

“Kita berharap penduduk kampung berkaitan dapat bersabar kerana kita berusaha menyelesaikan masalah ini” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.

Terdahulu, tular di Facebook mengenai pelajar SMK Ulu Sugut terjatuh ke dalam sungai selepas jambatan gantung dilalui mereka, runtuh secara tiba-tiba.

Difahamkan, kawasan sekitar jambatan gantung dengan ketinggian kira-kira 18 meter dari aras sungai itu satu-satunya lokasi yang mempunyai capaian internet.

Sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung, khususnya pelajar berkumpul di kawasan terbabit sekiranya memerlukan jaringan internet.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ulu Sugut, Ratimin Kukunut, berkata dia dimaklumkan kejadian itu berlaku beberapa hari lalu, sekitar jam 9 malam.

“Penduduk kampung menyatakan semua pelajar itu berada di tengah-tengah jambatan untuk mengikuti kelas dalam talian sebelum jambatan itu tiba-tiba runtuh.

“Capaian internet di Kampung Gusi ini memang teruk, tetapi lebih baik pada waktu malam di kawasan jambatan gantung terbabit,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *