Belanjawan 2021 Diluluskan

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR : Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 peringkat dasar.

RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, pada jam 3.28 petang.

Sebelum itu, Datuk Mahfuz Omar (AMANAH-Pokok Sena) bangkit meminta pengundian diputuskan secara belah bahagi, namun aturan itu tidak dapat diadakan apabila gagal memenuhi syarat minimum sokongan 15 Ahli Parlimen seperti ditetapkan Peraturan Mesyuarat.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menggulung perbahasan selama kira-kira sejam.

Kelulusan RUU berkenaan akan membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.

Minggu depan, perbahasan akan melalui peringkat jawatankuasa sebelum pengundian sekali lagi dilakukan.

Sesi penggulungan Tengku Zafrul diikuti dengan penuh minat oleh Ahli Parlimen yang hadir dan tepukan meja kedengaran setiap kali inisiatif yang memanfaatkan rakyat diumumkan.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun meminta Azhar memberi masa tambahan kepada Tengku Zafrul bagi membolehkan semua persoalan dibangkitkan ketika perbahasan dijawab.

Azhar beberapa kali bersuara tegas mengawal keadaan dan meminta semua Ahli Parlimen mendengar penjelasan menteri.

“Tolong bagi peluang menteri menjawab. Masa perbahasan dah tamat. Kita semua dah kritik bajet tu, sekarang biar menteri menjawab,” katanya selepas Wong Chen (PH-Subang) mencelah dan membangkitkan isu berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketika Tengku Zafrul memberi penjelasan, beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun tanpa kebenaran untuk mencelah.

Azhar sekali lagi mengingatkan mereka supaya duduk bagi membolehkan menteri meneruskan penggulungan.

Keadaan sedikit tegang apabila Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) bangun dan berkata: “Speaker, saya minta bila orang mencelah, Speaker kawallah belah sana. Janganlah kita diganggu tanpa mengawal.”

Kenyataan Nik Nazmi itu kurang disenangi Azhar yang tegas berkata: “Bila yang saya tak kawal? Jangan tuduh saya yang bukan-bukan. Saya beri peluang kamu semua mencelah.

“Tolong jangan tuduh saya yang bukan-bukan. Bila sesuatu perkara itu salah, saya akan tegur tak kira siapa,” katanya sebelum meminta Tengku Zafrul meneruskan penggulungan.

Celahan bersilih-ganti Ahli Parlimen daripada blok pembangkang dan penyokong kerajaan menyebabkan penggulungan Tengku Zafrul mengambil masa lebih sejam.

Antara topik meriuhkan dewan ialah yang menyentuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bantuan sekali bayar untuk petugas hadapan dan moratorium.

Sebelum memulakan penggulungannya, Tengku Zafrul menjemput semua Ahli Parlimen memasuki dewan bagi mengikuti sesi penggulungan berkenaan.

Sebelum ini, hanya 80 Ahli Parlimen dibenar berada dalam dewan sepanjang tempoh perbahasan dan sesi penggulungan oleh kementerian sebagai langkah mengawal penularan COVID-19.

Selain Kementerian Kewangan, lapan lagi kementerian yang menggulung perbahasan hari ini ialah Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Luar; Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Turut menggulung, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

681