Laporan Kerajaan Berhubung MA63 Harus Diumum Secara Terbuka – SAPP

Yong Teck Lee

KOTA KINABALU : Laporan kerajaan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus diumum secara terbuka agar rakyat dapat mengikuti perkembangan dan menilai pelaksanaan perjanjian itu, kata Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee.

Yong yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata perkara itu juga akan memastikan pemimpin kerajaan dan peguam sentiasa mematuhi pelaksanaan yang dipersetujui.

“Hanya setelah rakyat, ahli politik, ahli akademik dan penjawat awam termasuk hakim tahu sejauh mana tahap ketidakpatuhan MA63 barulah negara dapat bergerak sebagai satu unit ke arah pematuhan penuh perjanjian itu yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

“Menyembunyikan laporan MA63 daripada umum sama seperti mengizinkan parti-parti memerintah bersikap sambil lewa dan berlengah-lengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yong berkata tindakan melindungi laporan MA63 daripada pengetahuan umum  yang diambil sebelum ini juga jelas tidak memuaskan hati banyak pihak selain tidak membawa sebarang perkembangan kepada isu.

Beliau berkata 57 tahun sudah berlalu sejak perjanjian itu ditandatangani namun pelaksanaan penuh MA63 masih lagi tertangguh.

“Sepatutnya tidak perlu lagi ada jawatankuasa teknikal yang hanya akan menyebabkan MA63 terhalang oleh kerenah birokrasi,” katanya.

Sebaliknya kata beliau, sekarang adalah masa bagi Sabah dan Sarawak serta Jabatan Peguam Negara persekutuan menggubal akta Parlimen dan enakmen negeri yang baharu bagi menguatkuasakan pematuhan MA63. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1050