Kes Covid-19 Di Sabah Macam ‘Yoyo’, Sukar Dijangka – Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun pihaknya kini bukan semata-mata melihat kepada penurunan kes dari segi statistik namun lebih kepada keadaan di Sabah terkawal atau tidak. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, walaupun kes harian Covid-19 di Sabah menunjukkan penurunan sejak beberapa hari lalu namun masih sukar dijangka.

Katanya, ia berikutan kewujudan beberapa kluster baharu dengan ujian saringan dalam kalangan masyarakat yang terlibat dengan kluster terbabit masih berterusan.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, kes di Sabah macam ‘yoyo’, sekejap turun dan sekejap juga naik. Kenaikan kes ini berpunca daripada kluster baharu kerana masih ada hasil saringan yang belum diketahui.

“Sebagai contoh beberapa hari lalu, dua kali saya nyatakan untuk bersedia menghadapi kenaikan mendadak bagi daerah Kota Kinabalu kerana ujian saringan di dua kawasan PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketatkan) di Kampung Numbak dan skim penempatan Telipok belum sempurna,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Sabah menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Masidi berkata, pihaknya kini bukan semata-mata melihat kepada penurunan kes dari segi statistik namun lebih kepada keadaan di Sabah terkawal atau tidak.

“Untuk tentukan sama ada terkawal atau tidak, kita melihat kepada jangkitan dalam kalangan masyarakat dan itu saya nampak ada tanda penurunan.

“Bagaimanapun, jika kita melihat kepada kluster tertentu, ia sesuatu yang sukar dijangka kerana ujian saringan masih dilakukan dan mungkin kalau ada sampel tertunggak ia boleh mengakibatkan statistik naik.

“Kita dalam ‘mood’ penurunan tetapi pada masa sama kita harus bersedia untuk menerima sesuatu yang kita tidak jangka iaitu (kes) daripada kluster baharu,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *